Sunday, October 27, 2013

Jahit


"Diumumkan Ratu Jarum Emas tahun 2013 jatuh kepada Sarina Baharin!"
Suara pengacara dari kaca televisyen itu menggamit pandangan Alisha seketika. Matanya yang dari tadi sibuk mencatat sesuatu kini difokuskan pula kepada kaca televisyen. Alisha melihat sang pemenang tersenyum bangga di atas pentas sambil menerima hadiah atas kejayaannya menerima gelaran tersebut. Setelah hadiah disampaikan, sang pemenang mula ditanya oleh para wartawan.
"Apa perasaan Sarina selepas berjaya merangkul gelaran ni daripada ratu terdahulu, Alisha Deraman?" soal seorang wartawan kepada Sarina.
"Saya bersyukur kerana akhirnya hasil usaha saya selama ini berjaya berbaloi. Berkenaan dengan Alisha Deraman, saya tiada komen," balas Sarina sambil segera mahu menuju masuk ke dalam bilik VIP yang disediakan. Tidak mahu diganggu dengan soalan cepu emas penuh kontroversi daripada para wartawan.
"Jawablah, Cik Sarina! Bangga tak setelah berjaya mengatasi bekas Ratu Jarum Emas tahun lepas yang sehingga kini menghilang entah ke mana?"
"Jangan sombong sangat. Baru menang anugerah macam ni aje kut. Jawablah soalan kami!"
"Alah, susah sangat ke nak jawab soalan kami?"
Segala tohmahan yang didengar, Sarina memekakkan telinganya. Tindakan Sarina ditonton saja oleh Alisha. Kepalanya digelengkan sambil mengukir senyuman.
"Tindakan yang bijak, Sarina," puji Alisha. Bau kopi arabika di hadapannya menusuk masuk ke dalam rongga hidungnya. Ketika itu jugalah kenangan lampau menghambat dirinya. Alisha menutup matanya sambil mengimbau semula waktu gemilangnya di pentas yang sama di mana dia sendiri pernah berdiri di sana mendapat gelaran Ratu Jarum Emas satu ketika dahulu.
*****
Alisha bangga tatkala melihat wajahnya terpampang bukan sahaja di dada akhbar malah di muka hadapan pelbagai majalah yang merangkumi lapisan umur para pembacanya. Maklumlah, Ratu Jarum Emas untuk tiga kali berturut-turut. Alisha bangga dengan kemahiran menjahit yang dia miliki. Dia masih ingat satu kenyataan yang dia ungkapkan ketika ditanya oleh para wartawan.
"Saya bersyukur dengan bakat yang saya ada. Dan yang paling penting apa saja saya boleh jahit dengan baik dan sempurna."
Alisha begitu yakin dengan kenyataannya. Ketika dia tersenyum bangga seorang diri, tiba-tiba satu suara menegurnya dari belakang.
"Cik Alisha, ada panggilan telefon untuk cik," ujar seorang gadis di belakang Alisha itu.
"Daripada siapa ya, Tiara?" soal Alisha kepada gadis bernama Tiara Zulkarnain, merangkap pembantu peribadi Alisha.
"Daripada Cik Karina, dari Bandar Puteri, Puchong," balas Tiara.
"Baiklah, saya datang sekarang," ucap Alisha lantas mengikuti pembantu peribadinya itu ke ruang pejabat. Setelah melihat Alisha menjawab panggilan telefon, Tiara segera beredar ke ruang hadapan butik untuk melayan pelanggan yang ada. Alisha memulakan perbualannya dengan Cik Kirana.
+ Ya, saya Alisha bercakap.
- Saya rasa bangga kerana dapat bercakap sendiri dengan Ratu Jarum Emas.
+ Terima kasih. Jadi, ada apa-apa yang boleh saya bantu Cik Kirana?
- Saya perlukan khidmat Cik Alisha untuk menjahit sesuatu.
+ Boleh saja. Cik Kirana bawa barang itu ke butik saya ni dan bolehlah saya jahitkan.
- Maaf, saya tak boleh bawa keluar barang itu dari sini. Kerana ia adalah amanah seseorang.
+ Saya faham. Jika begitu, saya dan PA saya akan ke sana. Boleh berikan alamat dan nombor telefon cik?
- Boleh, ini alamat dan nombor telefon saya.
Dengan pantas, jari Alisha mencapai sebatang pen dan segera mencatat alamat dan nombor telefon Kirana agar mudah untuk dihubungi jika ada sebarang hal.
+ Terima kasih, Cik Kirana. Sejam lagi kami akan sampai.
- Sama-sama.
Belum sempat Alisha mengucapkan salam, talian telefon dimatikan. Tiada lagi suara Kirana. Alisha tidak menaruh apa-apa perasan tentang itu lantas dia segera mendapatkan Tiara untuk menerangkan tugasan mereka berdua hari ini. Setelah faham dengan penerangan Alisha, mereka berdua segera bertolak ke Bandar Puteri, Puchong. Tiara meminta pekerja yang lain menjaga butik sepanjang ketiadaan mereka. Setelah mereka berdua masuk ke dalam perut kereta, Mini Copper rona merah milik Alisha meluncur laju ke jalan raya. Tepat sejam, mereka tiba juga di lokasi yang diberitahu oleh Kirana. Setelah kereta diparkir dan dikunci, Alisha mendail nombor telefon Kirana. Panggilan dijawab dan Kirana menerangkan pula lokasi dia berada. Setelah faham dengan penerangan Kirana, mereka berdua mula mengorak langkah ke sebuah bangunan. Kelihatan seperti sebuah hotel. Apabila mereka berdua sudah melangkah masuk, seorang penyambut tetamu menyapa mereka.
"Selamat datang ke Hotel Gemilang. Cik berdua mahu check in ke?"
"Ah, tidak. Saya datang ke sini diundang oleh Cik Kirana Yusof," balas Alisha.
"Ya. Boleh bawa kami ke bilik Cik Kirana?" pinta Tiara tanpa segan silu.
"Oh, Cik Kirana Yusof. Boleh, mari saya tunjuk biliknya," jawab penyambut tetamu itu lantas mereka bertiga mula bergerak menuju ke lif. Apabila pintu lif dibuka, penyambut tetamu itu menekan satu punat aras hotel tersebut, iaitu punat berangka 15. Lif mula bergerak naik dengan kadar kelajuan yang standard. Lancar sahaja. Alisha dan Tiara masing-masing mula mencipta pelbagai persoalan dalam benak fikiran mereka. Barang apakah yang perlu dijahit? Persoalan itu dibiarkan dahulu apabila mereka sudah tiba di aras 15. Pintu lif dibuka dan mereka bertiga mula melangkah ke bilik Cik Kirana. Akhirnya mereka tiba di hadapan sebuah bilik bernombor G-15-04.
"Baiklah, saya minta diri dulu," ucap penyambut tetamu itu lantas melangkah pergi.
"Terima kasih ya." Sempat Tiara mengucapkan terima kasih. Alisha menarik nafas sebelum mengetuk pintu. Belum sempat pintu diketuk,mereka dikejutkan dengan pintu yang terbuka perlahan-lahan. Tiara mula seriau.
"Aik, mana orangnya, Cik Alisha? Seramnya..." ujar Tiara takut.
"Janganlah takut. Pasti dia ada kat dalam. Jom kita masuk," ucap Alisha tenang.
"Ha, nak masuk? Tak naklah, Cik Alisha..."
"Kalau macam tu awak tunggu di luar ya."
Mendengar arahan Alisha, Tiara memandang kiri dan kanan. Suasana di aras itu begitu sunyi padahal waktu itu masih siang. Melihatkan keadaan itu, dia terpaksa ikut masuk bersama majikannya itu.
"Ha, macam tulah PA saya," puji Alisha agar dapat menghiburkan hati Tiara, namun sia-sia saja. Kepala Tiara aktif melihat ke segenap arah di sekelilingnya. Bimbang jika terdapat sebarang kemunculan entiti asing dipanggil hantu. Mereka berdua melangkah masuk perlahan-lahan dan apabila sudah sampai ke tengah ruang bilik, tiba-tiba pintu masuk tertutup dan dikunci. Alisha dan Tiara terkejut dengan keadaan itu lantas mereka mahu keluar dari bilik tersebut. Mereka dikejutkan pula dengan kemunculan seorang lelaki yang datang entah dari mana. Dan ketika itu juga muncul beberapa orang lelaki berpakaian kot hitam seperti tuksedo dan berkaca mata hitam mula mengelilingi bilik tersebut. Perasaan Alisha dan Tiara semakin berdebar bercampur bimbang.
"Selamat datang, Cik Alisha Deraman. Terima kasih kerana sudi datang ke mari," ucap lelaki itu. Daripada rupa lelaki itu, Alisha dapat meneka usia lelaki itu dalam lingkungan 50an dan boleh dikategorikan sebagai veteran.
"Awak ni siapa? Siapa kau orang sebenarnya?" soal Alisha yang memberanikan diri untuk bersuara.
"Tak perlu tahu siapa kami. Sekarang jalankan tugas kau seperti yang sudah diberitahu," balas lelaki veteran itu.
"Aku tak nak buat! Aku tahu kau kau orang semua ni ialah gengster, kan? Kau adalah ketuanya!" ujar Alisha dengan berani.
"Apa, tak nak buat? Belum ada sesiapa pun yang berani kata 'tidak' kepada aku," ucap lelaki veteran itu perlahan dan dia mula membuat isyarat. Tiba-tiba dua orang lelaki berkot itu merangkul tubuh Tiara dan membawanya ke sebuah meja. Belum sempat Tiara menjerit, mulutnya segera diplaster dan didudukkan pada kerusi di situ. Alisha melihat lelaki veteran itu mula mengeluarkan sebilah pisau dari dalam poketnya. Perasaan Alisha semakin gementar kerana Tiara bakal diapa-apakan oleh lelaki veteran itu.
"Jangan! Saya akan buat. Saya akan buat kerja tu!!!" getus Alisha dengan kuat. Namun, sia-sia. Jari kelingking Tiara sudah terputus dari tangannya. Darah memancut tanpa henti dan membasahi meja di mana Tiara didudukkan.
"Itu sebagai tanda peringatan aku kerana kau berani ingkar arahan aku," ucap lelaki veteran itu sambil mengukir senyuman. Pisau itu diletakkan di atas meja tersebut. Alisha semakin gerun melihat ugutan itu.
"Mana barang tu? Biar aku jahit sekarang!" tanya Alisha meskipun gugup.
"Di dalam sana," balas lelaki veteran itu sambil menunding jari ke arah bilik mandi. Alisha bergerak menuju ke bilik mandi dan pintu dibuka. Dia melihat tab mandi ditutup dengan sebuah tirai. Hati Alisha semakin gugup dan berdegup lebih kencang. Tirai itu disingkap. Segera dia beristighfar dalam hati tatkala melihat sekujur tubuh yang dipenuhi dengan darah berada di dalam tab mandi. Lebih menggerunkan tubuh mayat bercerai dan bergelimpangan. Alisha mengenalpasti jantina pemilik tubuh malang itu. Ia milik seorang gadis. 'Adakah ini Cik Kirana?' teka Alisha dalam hati.
"Dia bukan Kirana yang telefon kau tadi, tetapi dia adalah cucu aku," getus lelaki veteran itu seolah-olah mendengar isi hati Alisha ketika itu.
"Jadi di mana Kirana?" soal Alisha ingin tahu.
"Itu kau tak perlu tahu. Kau mesti jahit mayat itu sekarang atau sebaliknya," arah lelaki veteran itu. Tatkala mendengar perkataan 'sebaliknya' itu, Alisha segera bertindak. Dia keluar semula dari bilik air untuk mengambil beg kerjanya yang dibawa oleh Tiara tadi dan membawa ia masuk. Tanpa berlengah, proses jahitan dilakukan oleh Alisha.
*****
"Cik Idora, semuanya sudah siap sedia di sana," ucap seorang wanita genit dari belakang.
Alisha tersentak dari lamunan memori hitamnya. Dia memberi anggukan, membalas kata-kata wanita genit itu tadi. Alisha yang kini beridentiti baru sebagai Idora Abdul Wahab mula bangkit dari duduknya dan melangkah ke sebuah kamar. Pintu bilik dibuka dan dia melihat wanita genit tadi menunggunya di situ. Tugasnya menggantikan Tiara yang sudah lama menghilangkan diri. Begitu juga dengan dirinya. Alisha yang sudah menukar identiti kini menjalankan kerja profesionalnya di sebuah lokasi rahsia. Hanya golongan kolar putih sahaja yang tahu lokasinya ini. Dia menyambut fail yang dihulurkan oleh wanita genit itu dan kemudian wanita genit itu menutup pintu bilik tersebut perlahan-lahan. Pada bahagian depan pintu terpampang satu papan tanda.
~BILIK JAHITAN MAYAT~
Categories:

0 comments:

Post a Comment

SEMUA ISI KANDUNGAN DI DALAM BLOG INI DILINDUNGI OLEH:
DMCA.com DMCA.com