Monday, November 4, 2013

Zawjah ~ Dua


SELURUH isi rumah Aneesa pada pagi Sabtu itu berasa sangat hairan dengan Aneesa. Dari sesi solat subuh berjemaah hinggalah sesi bersarapan satu keluarga, senyuman Aneesa tidak lekang dari bibir mungilnya. Ibu bapa dan kakak sulung Aneesa sangat hairan dengan Aneesa. Apa yang menyebabkan Aneesa senyum tidak henti-henti? Tidak penatkah bibir Aneesa tersenyum sepanjang hari? Daripada persoalan itu terus berlegar-legar di fikiran, kakak sulung Aneesa segera menegur adik bongsunya itu.
            “Amboi, dapat bonus ke semalam?” tegur Safura sambil mencedok lagi mihun goreng Singapura yang dia sediakan untuk pagi itu. Aneesa tergamam seketika. Tangannya yang memegang garfu berisi mihun segera pegun.
            “Emm... mana ada dapat bonuslah. Hari gaji kan lambat lagi,” jawab Aneesa yang mula menyedari seluruh keluarganya perasan akan senyuman misterinya pada pagi itu.
            “Oh, yakah? Manalah tahu dapat bonus ke semalam, boleh belanja kami makan di luar. Hehehe...” usik Safura lagi. Aneesa tersenyum melihat telatah kakaknya.
            “Aneesa, ibu tanya sikit boleh?” soal Puan Yasmin yang masih menikmati mihun tersebut. Sememangnya mihun goreng Singapura yang dimasak oleh Safura sungguh menyelerakan. Segalanya cukup sama ada aroma mahupun rasa. Mihun direndam lembut, udang dikupas elok dan dimasak sempurna, manakala garam, gula dan lada hitam ditabur sebati. Tanpa sedar, sudah tinggal separuh hidangan mihun itu di dalam dulang kaca tersebut. Memang laku mihun goreng Safura pada pagi itu.
            “Boleh, ibu. Tanyalah. Banyak pun tak apa,” jawab Aneesa yang sempat menyuap sedikit mihun ke mulutnya.
            “Dari solat subuh sampai makan sarapan ni, ibu tengok Aneesa senyum saja. Boleh ibu tahu kenapa?”
            “Ya, apa yang buat anak ayah dan ibu pagi ni gembira?” soal Encik Kamaruzzaman, ayah kepada Safura dan Aneesa pula. Dalam diamnya yang hanya membaca surat khabar dari tadi, telinganya mendengar perbualan tiga beranak itu.
            “Alah, tak apa-apa. Aneesa gembira sebab hari ni Intan nak ajak Aneesa pergi ke Bandar Mahogany. Katanya nak survei kek untuk hari lahir mama dia bulan depan,” jawab Aneesa yang akhirnya berjaya menyelindung rahsia di sebalik senyumannya itu daripada mereka semua. Kebetulan pula memang Intan ada mengajaknya keluar tetapi bukan ke Bandar Mahogany, sebaliknya ke Midvalley. Aneesa menahan tawa dalam hati.
            “Ha, mesti nak ke D.S. kan? Akak nak kirim boleh?” pinta Safura yang tahu adiknya mahu ke Bandar Mahogany. Sememangnya pilihan untuk mencari makanan manis hanya satu sahaja pilihan yang terbaik boleh disyorkan, iaitu di Delima Sweets atau mesra dipanggil dengan akronim D.S.
            “Kak Safura nak kirim apa? Boleh saja nanti Aneesa belikan,” ucap Aneesa mesra sambil tersenyum.
            “Kirim salam akak pada Intan,” balas Safura spontan lantas semua yang berada di meja makan tertawa termasuk Aneesa sendiri. Sempat pula Safura berlawak ketika itu.
            “Betul-betullah, Kak Safura. Buat lawak pula,” kata Aneesa tidak berpuas hati.
            “Okey, okey. Akak nak kirim krim paf. Nak 12 biji ya,” ujar Safura.
            “Oh, untuk minum petang ke, kak?”
            “Ya, Mak Cik Jasmin nak singgah sini petang nanti.”
            “Oh, yakah? Bila dia sampai dari Muju?”
            “Malam semalam dia sampai.”
            “Seronoklah dia dapat pergi festival kelip-kelip kat sana.”
            “Aneesa kalau boleh balik cepat sikit tahu. Dia bagitahu akak dia rindu Aneesa sangat-sangat.”
            “Okey, kak. Kalau Aneesa lambat, Aneesa bagitahu akak.”
            “Noted.”
            Selepas menerima pesanan Safura, Aneesa segera menghabiskan mihun gorengnya dan menikmati minuman Milonya. Dia beredar sambil membawa pinggan dan cawan yang sudah digunakan menuju ke dapur. Setelah membasuh pinggan dan cawannya dengan bersih, Aneesa naik ke biliknya di tingkat satu untuk mengambil tas tangan dan bersiap-siap untuk berjumpa Intan. Dia turun ke ruang makan semula dan bersalaman dengan semua yang ada di situ. Salaman diiringi kucupan Aneesa kepada tiga insan yang lebih tua daripadanya iaitu ayahnya, ibunya dan kakaknya. Aneesa membuka pintu sambil mengucapkan salam kepada mereka bertiga yang masih berada di ruang makan dan menikmati sarapan. Puan Yasmin sempat melambai ke arah Aneesa dan Aneesa membalasnya semula sambil tersenyum.
            Aneesa masuk ke perut Mini Cooper S miliknya dan enjin mula dihidupkan. Perlahan-lahan kereta tersebut berundur keluar dari perkarangan rumah dan mula meluncur ke jalan. Beberapa minit kemudian, Mini Cooper S milik Aneesa masuk ke jalan raya yang kurang sibuk. Sepanjang pemanduannya, Aneesa kekal tersenyum sambil memikirkan perihal mesej yang diterima di WhatsApp malam semalam.

*****

SUASANA di kompleks membeli-belah Midvalley pada hari Sabtu begitu sesak sedikit berbanding hari Ahad. Ini kerana masih ada lagi penghuni Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya yang  bekerja. Jadi, kesesakannya tidaklah sehebat di hari Ahad. Aneesa dan Intan berjalan keluar dari kedai buku MPH sambil masing-masing menjinjit beg plastik MPH. Sepertinya mereka baru selesai membeli-belah bahan bacaan yang mereka mahukan setiap bulan. Majalah dan novel. Ketika berjalan menuju ke tempat letak kereta, Aneesa menyambung semula perbualan mereka sebentar tadi.
            “Intan, boleh saya tanya sikit?” tanya Aneesa memulakan kembali perbualan.
            “Apa dia, cik bos? Tanyalah,” jawab Intan bersiap sedia.
            “Awak kenal Rauf?”
            “Rauf? Oh, dia tu sepupu saya... ops...” Segera Intan menutup mulutnya kerana dia sudah terlepas cakap. Aneesa mengangkat sedikit keningnya.
            “Ha, jadi awaklah yang beri nombor saya kepada Rauf ya?”
            ‘Alamak, boleh kantoi pulak? Mulut ni pun...’ rungut Intan dalam hati lantas cuba mengukir senyuman sambil berdeham sedikit. “Ya, cik bos. Tapi saya bukan suka-suka bagi nombor awak kepada dia. Dia minta nombor awak ada sebab.”
            “Ha, semalam pun dia bagitahu ada sebab dia paksa awak untuk bagi nombor saya kepada dia. Boleh jelaskan apa sebabnya?”
            “Urmm... urmm...” gumam Intan yang sudah mati kutu. Tiba-tiba akalnya datang ke minda. “Kalau awak nak tahu, datang ke rumah saya esok petang jam 4.30 petang.”
            “Datang rumah awak esok jam 4.30 petang... apa kaitannya dengan jawapan yang saya nak?” soal Aneesa yang mulai hairan dengan Intan.
            “Memang ada kaitan. Jawapannya ada di rumah saya pada esok petang. Datang jangan tak datang tahu,” balas Intan bernada serius. Aneesa yakin dengan kata-kata Intan lantas membalas bicara sahabat karibnya itu dengan anggukan tanda setuju. Intan mengukir senyuman dan menyambung lagi bicaranya, “Jadi, ke mana pula kita lepas ni?”
            “Ha, nasib baik awak cakap nak ke mana lepas ni. Jom teman saya ke Bandar Mahogany boleh? Kak Safura kirim krim paf di D.S.,” balas Aneesa.
            “Oh, ada orang datang rumah awak ke?”
            “Ya, Mak Cik Jasmin nak singgah ke rumah petang ni. Dia baru balik dari Muju, Korea Selatan.”
            “Oh, mesti banyak dia ambil gambar kunang-kunang masa kat festival tu, kan?”
            “Mestilah banyak. Dia dengan kamera dia tu memang tak boleh dipisahkan kalau dia pergi melancong.”
            Lantas mereka berdua tertawa dan melangkah menuju ke kaunter bayaran tiket letak kereta. Perbualan mereka berdua semakin rancak sampai kedua-duanya masuk ke perut Mini Cooper S milik Aneesa dan meninggal kawasan Bangsar untuk menuju ke lokasi seterusnya, Delima Sweets di Bandar Mahogany.

*****

JAM di pergelangan tangan Aneesa kini menunjukkan waktu sudah pukul 3.00 petang. Sebelum tiba di Bandar Mahogany, mereka berdua singgah solat di Masjid Al-Mukarramah di Bandar Seri Damansara di waktu zuhur dan menyambung semula perjalanan ke Bandar Mahogany. Jarak kedua-dua lokasi ini sudah tidak jauh. Dalam dua kilometer lagi mereka akan tiba di Bandar Mahogany. Kemudian dalam perjalanan ke sana, Aneesa berhenti seketika di stesen minyak berhampiran untuk melepaskan hajat kecilnya.
            Setelah itu Mini Cooper S milik Aneesa menyambung perjalanan ke Bandar Mahogany. Tiba di sana, mereka meletakkan kenderaan tidak jauh dari kedai manisan yang begitu popular ini. Selepas kereta dikunci, mereka berdua melangkah masuk ke dalam kedai manisan tersebut. Bunyi gemerincing dari loceng mini di alang pintu kaca menyambut mereka berdua masuk diiringi ucapan seorang pekerja di situ. Mereka berdua mengucapkan terima kasih dan mengukir senyuman kerana gembira dengan layanan di kedai manisan tersebut. Delima Sweets bukan sahaja menjual manisan, malah terdapat kafe di dalamnya. Jadi para pelanggan yang singgah boleh buat dua pilihan ketika masuk ke kedai ini, sama ada mahu makan di situ atau dibawa pulang. Waktu paling sibuk di kedai manisan ini ialah tengahari pada setiap hari, Sabtu dan Ahad. Sememangnya rezeki sentiasa mengalir masuk ke dalam kedai tersebut.
            Tiba di kaunter, mereka berdua disambut oleh seorang pekerja lelaki yang kelihatan tersenyum manis kepada mereka. Intan yang berada di sebelah Aneesa terkesima seketika apabila melihat senyuman manis pekerja lelaki tersebut.
            ‘Cairlah tu. Memang sah hati kawan aku ni dah cair,’ teka Aneesa dalam hati apabila melihat keadaan Intan. Dia segera mencuit pinggang Intan sehingga sahabat karibnya itu terbangun dari angan-angannya. “Cik Intan S.A. jangan berangan sekarang.”
            Intan yang leka berangan sebemtar tadi terus tersedar tatkala pinggangnya dicuit oleh Aneesa. Dia memandang Aneesa dengan terkebil-kebil. Pekerja lelaki itu menahan tawa ketika melihat telatah dua orang wanita di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia mula berbicara kepada mereka berdua.
            “Assalamualaikum, salam sejahtera. Selamat datang ke Delima Sweets! Boleh saya bantu cik berdua?” soal pekerja lelaki itu.
            “Waalaikumsalam. Saya mahu beli krim paf, 12 biji ya,” balas Aneesa. Matanya segera difokuskan kepada tag nama pekerja lelaki tersebut. Tag nama itu mempunyai satu barisan nama yang terdiri daripada enam huruf, E.I.D.H.A.M. Segera dia mengingat nama tersebut agar mudah untuk dia mengusik sahabat karibnya itu nanti. Dia menahan ketawa di dalam hati.
            “Kebetulan, cik. Minggu ini adalah hari krim paf di Delima Sweets. Jadi, setiap manisan krim paf akan diberi harga diskaun dan juga sepiring krim paf percuma dengan setiap pembelian. Jadi, cik mahu pesan krim paf yang mana?” terang Eidham dengan panjang lebar kepada Aneesa tentang promosi yang sedang berjalan di Delima Sweets. Satu menu manisan dihulurkan kepada Aneesa.
            “Apa, ada diskaun? Itu yang penting. Hehehe. Saya mahu krim paf kastard,” balas Aneesa yang sempat berseloroh. Intan tersenyum sahaja melayan kerenah Aneesa.
            “Okey, cik ada apa-apa tambahan pesanan?”
            “Ah, tak. Itu saja. Boleh saya tanya?”
            “Boleh, cik. Silakan.”
            “Selain minggu krim paf, apa lagi promosi yang Delima Sweets akan buat lepas ni?”
            “Oh, itu masih dalam perancangan lagi, cik. Tapi kalau cik mahu sebarang info mengenai aktiviti atau promosi yang akan berlangsung di sini, cik boleh layari ke page kami di Facebook. Cik cari Delima Sweets, lepas tu jangan lupa tekan like ya. Sokongan daripada cik amat kami hargai.”
            “Oh, ada page di Facebook? Menarik ni. Ya, pasti saya akan like page D.S. di Facebook.”
            “Alhamdulillah. Okey, minta cik berdua duduk dulu sebentar sebelum pesanan cik tiba. Silakan, cik,” ucap Eidham lantas dia keluar dari kaunter dan membawa Aneesa dan Intan ke sebuah meja yang masih kosong. Setelah duduk, Aneesa segera mencapai telefon pintarnya lantas menelefon Safura, namun tiada jawapan. Dia cuba pula menelefon Puan Yasmin, tetapi sama juga. Tiada jawapan. Dahi Aneesa mula berkerut.
            “Kenapa ni, Aneesa?” tanya Intan yang amat prihatin dengan diri Aneesa lantas bertanya.
            “Ibu dan kakak Aneesa tak jawab panggilan saya. Mana semua orang pergi?” jawab Aneesa sambil mengomel.
            “Mungkin dia orang tengah keluar kut,” teka Intan.
            “Agaknyalah,” balas Aneesa lantas dia mematikan panggilan dan membuka aplikasi permainan pada telefon pintarnya untuk bermain permainan popular di telefon bimbit masa kini iaitu aplikasi permainan Pao. Kelihatan watak Pao dalam aplikasi permainan tersebut kini sudah mengalami perubahan dari segi rona badannya, pakaiannya, aksesorinya dan banyak lagi. Watak Pao milik Aneesa itu diberi nama Lady Az. Ketika sedang khusyuk bermain Pao, satu panggilan masuk ke telefon pintar Aneesa. Nama pada skrin dilihat oleh Aneesa. Bonda Yasminku. Tanpa berlengah, panggilan tersebut segera dijawab.

            + Assalamualaikum, ibu.
            -  Waalaikumsalam, sayang. Kat mana sekarang ni?
            + Aneesa dengan Intan kat Bandar Mahogany, dalam kedai D.S.
            - Oh, okey. Maaf sebab masa Aneesa telefon ibu dengan Kak Safura tadi, kami tak perasan kerana telefon bimbit kami dalam beg masing-masing.
            + Tak apa. Ibu dengan kakak kat mana sekarang?
            -  Ibu dengan kakak dalam perjalanan balik ke rumah. Beli barang dapur sikit. Ibu dengan kakak nak masak istimewa untuk Mak Cik Jasmin. Sebelum ibu terlupa, Aneesa balik jam berapa?
            + Sebab tu Aneesa telefon ibu dengan kakak. Aneesa sampai rumah mungkin lambat sikit sebab Aneesa hantar Intan balik ke rumah. Dia tumpang kereta Aneesa. Kereta dia masuk wad. Hehehe.
            -  Okay, noted. Hati-hati memandu, ya sayang.

            Selepas salam dijawab oleh Aneesa, panggilan tersebut pun dimatikan. Dan ketika itu jugalah 12 biji krim paf bersama sepiring krim paf percuma dihidangkan bersama dua cawan teh bunga ros. Aroma kudapan pada petang ini telah berjaya menambat selera Aneesa dan Intan lantas tanpa berlengah krim paf percuma itu menjadi sasaran. Satu piring diberi lima biji krim paf percuma. Dan yang lebih unik lima biji krim paf mempunyai rona dan inti yang pelbagai. Yang dihidangkan ialah krim paf rona merah jambu berinti krim strawberi, krim paf rona hijau berinti kaya pandan, krim paf rona biru berinti sos blueberry, krim paf rona oren berinti krim labu dan krim paf rona ungu berinti sos coklat kismis. Aneesa faham akan sesuatu tatkala melihat lima biji krim paf tersebut. Pihak kedai manisan ini melakukan promosi pada hari ini ialah untuk memperkenalkan lima perisa baru krim paf yang bakal ada di kedai ini. ‘Perancangan pemasaran yang bagus,’ puji Aneesa dalam hati kepada pihak pengurusan Delima Sweets. Sambil menikmati juadah kudapan krim paf yang pelbagai perisa itu, Aneesa membuka aplikasi Facebook di telefon pintarnya dan dengan segera dia mencari page Delima Sweets. Setelah menemukan page tersebut, Aneesa menekan butang like.
            Sedang khusyuk Aneesa melayari Facebook pada telefon bimbit, tiba-tiba masuk satu mesej daripada aplikasi WhatsApp. Ia dihantar oleh lelaki bernama Rauf, sepupu kepada Intan. Tanpa berlengah, Aneesa segera membaca mesej tersebut dan tergamam seketika. Tiada satu perkataan yang terungkap dari bibirnya melainkan hanya mengukir satu senyuman.
Categories:

0 comments:

Post a Comment

SEMUA ISI KANDUNGAN DI DALAM BLOG INI DILINDUNGI OLEH:
DMCA.com DMCA.com