Friday, October 25, 2013

Semanis Cinta Zanzibar


Usai sahaja menghantar pesanan pelanggan di pejabat pos, Mastura masuk semula ke perut keretanya. Perodua MyVi berwarna ungu miliknya itu mula bergerak ke destinasi biasa. Delima Sweets di Bandar Mahogany. Tiba di hadapan kedai manisan itu, Mastura mematikan enjin dan keluar dari perut MyVi miliknya. Setelah memastikan keretanya sudah dikunci dengan alat pengera kereta, Mastura mula melangkah masuk ke kedai tersebut.
"Selamat datang!" ucap salah seorang pekerja di dalam kedai itu.
Mastura membalas ucapan itu dengan anggukan dan senyuman mesra. Dia segera menuju ke arah sebuah rak kaca di mana terpamer puluhan manisan di situ. Pelbagai truffles, prelines, dan manisan lain dipamer dengan kemas dalam rak kaca tersebut. Mastura tidak rambang mata kerana dia sudah ada manisan kegemarannya di sini.
"Zanzibar, macam biasa ya," pinta Mastura lembut kepada seorang pekerja di belakang rak kaca itu.
"Ya, macam biasa," balas pekerja itu sambil tersenyum kepada Mastura.
"Terima kasih, Tuan Eidham," ucap Mastura.
"Kan saya dah kata jangan panggil saya tuan. Panggil saja Eidham sudah," tegur pekerja bernama Eidham itu sambil berpura-pura merajuk.
"Alalala... baiklah, Eidham. Maaf sebab terlupa," balas Mastura sambil tersengih.
Eidham mengangguk dan tersenyum semula lantas mula menyediakan pesanan Mastura tadi dengan segera.
Mastura duduk di tempat duduknya seperti biasa. Di sudut paling hujung dalam kedai itu. Mastura memerhatikan saja kelincahan Eidham bertugas. Dalam hatinya sentiasa ada rasa kagum dengan Eidham ini yang merupakan pengurus kedai manisan yang hampir bankrup ini. Beliau sanggup meninggalkan karier beliau sebagai ketua editor di sebuah syarikat penerbitan buku terkemuka demi memenuhi amanah ayah beliau untuk menguruskan kedai ini. Tetapi dengan kreativiti beliau juga, kedai ini mula menjadi tumpuan semula di Bandar Mahogany bahkan di serata negeri. Terlalu leka termenung, tanpa Mastura sedar pesanannya sudah sampai di mejanya. Kelihatan Eidham tersengih dan memandang ke arahnya.
"Jauhnya orang tu termenung. Sampai pesanan dah sampai pun tak sedar," ujar Eidham mahu mengusik Mastura.
"Maaf, Eidham. Tak sedar order saya dah lama sampai. Terima kasih," balas Mastura tersipu-sipu.
"Sama-sama. Jangan terlalu memaksa diri ya, Mastura," pesan Eidham lantas beredar dari meja Mastura.
Mastura mula mengeluarkan satu sampul yang berisi sekeping kad dan diletak kemas di atas meja. Setelah itu, dia memulakan rutin hariannya di kedai itu, iaitu memandang ke arah pintu. Kelihatan dia seperti menanti seseorang.
Eidham sudah faham benar dengan rutin Mastura itu di kedainya. Hatinya turut hiba kerana sememangnya penantian itu satu penyiksaan. Dia faham benar akan situasi yang telah melanda diri Mastura. Dia menanti cinta hatinya yang begitu manis bak zanzibar. Buruk di luar tetapi manis di dalam.
Apabila perut Mastura sudah berkeroncong, dia mula menikmati manisan zanzibar yang terletak kemas di dalam sebuah piring putih. Lima ketul zanzibar itu diambil satu per satu dan dinikmatinya bersungguh-sungguh. Setiap kunyahan yang mencairkan zanzibar dalam mulutnya, ketika itu jugalah input memori mula menjalar masuk menerusi neuron otak Mastura. Sambil memejamkan mata, dia menikmati keenakan kenangannya satu ketika dulu.
*******
"Awak takkan faham situasi saya sekarang ni," ucap Razali sambil menatap wajah gadis ayu dan manis di hadapannya. Suasana di dalam Delima Sweets mula dimonopoli oleh perasaan kecewa.
"Tapi, kenapa mesti putuskan hubungan kita?" soal Mastura ingin tahu. Hatinya mula berkecamuk kerana keputusan mendadak yang dibuat oleh kekasihnya itu.
"Tiada guna Mastura mencintai orang yang tidak mencintai Mastura," balas Razali. Dia tidak mahu ungkapkan kata-kata seperti itu, namun apakan daya. Keadaan yang memaksa dirinya jadi seperti itu.
"Maksud awak?"
"Saya tidak cintakan awak. Saya sudah ada bakal isteri saya. Lupakanlah saya selepas ini."
Mastura tidak percaya akan kata-kata Razali itu lantas segera beredar dari kedai tersebut dengan deraian air mata. Razali yang masih berada di situ juga dilanda kesedihan.
'Maafkan saya, awak. Keadaan memaksa saya berbuat demikian. Walau apapun terjadi, saya tetap zanzibar di hati awak,' bicara Razali sendirian. Pelbagai perasaan kini bercampur baur dalam jiwa Razali. Semua itu disaksikan sendiri oleh Eidham. Malah, Eidham juga tahu hujung pangkal tragedi percintaan antara Razali dan Mastura.
******
Setelah membaca surat terakhir Razali dan mendengar sendiri kebenaran daripada mulut Eidham, Mastura begitu kesal dengan apa yang terjadi. Semuanya itu telah dirancang oleh ibu dan kakak kandungnya sendiri.
"Mereka berdua tidak sukakan Razali kerana Razali bekas banduan. Saya terima dia bekerja di sini untuk membantu dia berubah dari segi fizikal mahupun mental. Oleh kerana menerima banyak ugutan dan paksaan daripada ibu dan kakak kamu, maka dia terpaksa putuskan hubungan dengan kamu agar kamu bahagia," ujar Eidham.lagi.
"Tapi, kebahagiaan saya mereka sudah musnahkan. Kebahagiaan apalagi yang saya dapat?" balas Mastura tidak berpuas hati.
"Saya cadangkan agar Mastura berbincang dengan keluarga Mastura tentang perkara ini ya," cadang Eidham.
"Dia masuk kerja tak hari ni, Eidham?" soal Mastura segera.
"Razali sudah dua minggu tak masuk kerja. Dia ambil cuti sebab ada hal penting katanya," balas Eidham.
"Kalau dia masuk kerja semula, bagitahu saya ya. Ini nombor telefon saya," ujar Mastura lantas menulis nombor telefon bimbitnya pada sehelai kertas memo.
Eidham sekadar mengangguk dan menerima kertas memo itu daripada Mastura. Lantas gadis muda itu beredar dari Delima Sweets.
******
Setelah tiga ketul zanzibar dia makan, dia segera menikmati minuman teh hijaunya yang mulai suam. Eidham memerhatikan sahaja gadis itu yang giat menghirup teh hijau yang suam. Setelah itu, Mastura menyambung kembali pandangannya ke arah pintu. Eidham sudah tidak boleh lagi membiarkan keadaan Mastura berterusan sedemikian rupa. Dia mula berjalan menuju ke meja Mastura. Pada hari itu dia memasang nekad untuk memberitahu situasi sebenar Allahyarham Razali kepada Mastura.
Categories:

0 comments:

Post a Comment

SEMUA ISI KANDUNGAN DI DALAM BLOG INI DILINDUNGI OLEH:
DMCA.com DMCA.com