Thursday, October 31, 2013

Zawjah ~ Prolog


AIR mata Aneesa lebat membasahi pipi mulusnya. Pelbagai perasaan bercampur-aduk dalam jiwa Aneesa. Kecewa, sedih, kesal. Sememangnya insiden itu telah memecahkan rekod pencapaian dalam hidupnya.
            “Aneesa dah kecewakan semua orang... Maafkanlah, Aneesa...” ucap Aneesa yang semakin tenggelam dalam hiba. Kakak sulungnya, Safura menenangkan perasaan adik bongsunya yang sedang berkecamuk itu. Dia duduk di sebelah Aneesa dan bahunya diusap perlahan-lahan.
            “Sabarlah, Aneesa. Manusia itu perlu hadapi dugaan. Dugaan itu adalah tanda prihatin dan kasih sayang Dia kepada kita sebagai hamba-Nya. Malah ia juga menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita sendiri sedar atau sebaliknya,” ujar Safura tenang. Mendengar sahaja ucapan kakaknya itu, Aneesa diam seketika.
            “Betul kata Kak Safura,” balas Aneesa perlahan.
            “Apa yang betul, Aneesa?” soal Safura hairan.
            “Memang dugaan ni untuk hapuskan dosa kecil kita. Agaknya Aneesa mesti dah buat dosa kat Abang Rauf...” balas Aneesa lagi dan kali ini diiringi pula dengan hujan air mata yang lebih lebat dan tangisan. Segera dia menekup wajahnya kerana tidak dapat menahan emosinya. Safura mengeluh kerana gagal memujuk adiknya. Harapannya dengan nasihatnya tadi dapat meredakan emosi adiknya itu, tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia tidak sanggup membiarkan Aneesa berendam air mata terlalu lama kerana bimbang akan menjejaskan pula kesihatannya.
            “Janganlah menangis, Aneesa. Kakak yakin Abang Rauf pasti dah maafkan Aneesa,” pujuk Safura lagi yang masih mahu cuba menenangkan perasaan Aneesa.
            “Agaknya inilah balasan yang Aneesa kena tanggung, kak...” balas Aneesa yang mula merepek-repek dek emosinya yang sudah tidak terkawal.
            “Janganlah cakap macam tu, dik. Sudahlah tu. Kalau Abang Rauf tengok Aneesa macam ni, mesti dia lagi sedih. Aneesa sanggup ke nak buat Abang Rauf sedih?”
            “Aneesa tak pernah kecewakan siapa-siapapun, kak. Belum pernah lagi Aneesa mengecewakan orang lain sepanjang hidup Aneesa. Kakak sendiri pun tahu, kan...” jawab Aneesa lagi yang tersedu-sedan menahan emosi untuk meluahkan bicara.
            “Ya, kakak tahu semua itu, sayang. Tapi walau bagaimanapun, ini semua sudah kehendak Dia. Kita perlu bersabar dan redha ya,” ucap Safura lagi.
            “Aneesa dah kecewakan Abang Rauf... Aneesa dah kecewakan semua orang... Mana Aneesa nak letak muka lepas ni, kak?” ratap Aneesa. Segera Safura memeluk erat adik bongsunya itu agar tidak terlalu teruk dikawal oleh emosinya. Serum di kepala Aneesa mungkin sudah dimonopoli oleh perasaan kecewa, sedih dan kesal yang wujud dari lubuk hatinya. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon dari ruang tamu. Safura segera melepaskan pelukan dan menyeka air mata yang membasahi pipi Aneesa.
            “Adik tunggu sebentar ya. Kak Safura nak jawab telefon tu,” pesan Safura lantas segera turun ke ruang tamu untuk menyambut panggilan tersebut. Hujan air mata Aneesa reda seketika. Wajahnya hangat kerana dek suhu badannya yang meningkat gara-gara kecamukan emosi ketika ini. Beberapa ketika kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki Safura yang menuju ke bilik Aneesa semula. Wajahnya berseri-seri kerana ketika itulah satu ilham menerjah masuk ke dalam kotak fikirannya untuk meleraikan kekusutan emosi adik bongsunya itu.
            “Adik, kejap lagi kawan kakak akan singgah ke sini. Kawan kakak boleh selesaikan masalah adik,” ujar Safura tersenyum. Dia segera menuju ke arah Aneesa dan menyeka lagi sisa putik hangat yang membasahi pipi mulus Aneesa.
            “Siapa dia, kak?” soal Aneesa ingin tahu.
            “Kawan lama kakak. Kami satu sekolah menengah dulu. Lama juga tak jumpa dia. Alang-alang dia dah balik ke sini, bolehlah kita jumpa dia sama-sama. Dia juga ada masalah yang serupa dengan adik tahu,” terang Safura.
            “Masalah yang serupa? Maksud, kakak?” tanya Aneesa lagi.
            “Sudah, jangan banyak tanya lagi. Sekarang ni akak nak adik kakak ni mandi ya,” balas Safura yang tersenyum melihat gelagat Aneesa lantas dia beredar dari bilik adiknya.

            Aneesa menutup pintu bilik dan merenung ke arah cermin. Dia mengusap perutnya yang satu ketika dahulu pernah berisi dengan permata hatinya dengan Rauf, suaminya yang tercinta. Namun, insiden itulah yang merenggut kebahagiannya. Mata Aneesa pejam dan memorinya mula memainkan semula perjalanan hidupnya sebelum ini. Seiring dengan mentari yang mula berganjak ke waktu petang.
Categories:

0 comments:

Post a Comment

SEMUA ISI KANDUNGAN DI DALAM BLOG INI DILINDUNGI OLEH:
DMCA.com DMCA.com