Saturday, November 2, 2013

Zawjah ~ Satu


SENYUMAN itu tidak akan pernah luput dari ingatannya. Sejak pertama kali Aneesa bertemu dengan lelaki itu, satu perasaan yang begitu asing untuk dirinya mula menerjah masuk ke dalam jiwa dan bakal menyelinap ke seluruh urat nadi dan sarafnya. Ah, adakah ini yang dinamakan cinta? Cinta? Adakah dirinya sudah dilamun cinta pandang pertama?
            ‘Inikah cinta pandang pertama?’ bicara Aneesa sendiri apabila dia mula beredar dari kafe penkek kegemarannya, Paddington House of Pancakes di The Curve, Mutiara Damansara. Satu insiden kecil berlaku sebentar tadi, di mana Aneesa yang begitu terburu-buru untuk membeli kudapan pada jam 10.30 pagi dan tidak memandang ke hadapan telah merempuh seorang lelaki yang sedang membawa sepinggan penkek dan minuman dan lelaki itu sedang mencari tempat duduk yang kosong di dalam kafe itu. Ketika itulah mereka berdua bertembung dan sepinggan penkek yang dilimpahi madu jatuh dan menimpa pakaian lelaki itu, manakala minuman itu pula tersimbah ke tudung Aneesa.
            Pada mulanya, Aneesa mahu memarahi lelaki tersebut, tetapi apabila dia melihat lelaki itu meminta maaf dan tersenyum tenang, amarahnya sebentar tadi sirna bersama udara penyaman udara di dalam kafe tersebut. Nasib mereka berdua begitu baik kerana pada waktu itu tidak begitu ramai pelanggan di dalam kafe. Insiden itu hanya disaksikan oleh hanya beberapa pekerja kafe dan segelintir pelanggan. Masing-masing terpinga-pinga apabila melihat tiada adegan maki-hamun atau tengking-menengking. Bahkan, ia diganti dengan suasana yang mesra dan aman. Aneesa dan lelaki itu bangun serentak dan Aneesa terkejut apabila lelaki itu menghulurkan beberapa helai tisu kafe itu kepadanya. Bertujuan agar Aneesa dapat mengeringkan kesan basah yang telah mengotorkan tudungnya.
            “Saya minta maaf kerana tidak perasan cik di hadapan tadi,” ucap lelaki itu untuk entah yang keberapa kali. Aneesa tersenyum dan menggeleng.
            “Sudahlah, encik. Saya sudah maafkan encik. Silap saya juga kerana tak pandang depan. Meluru saja sampai tak nampak encik tengah bawa makan tengahari encik ni,” balas Aneesa. Timbul pula rasa bersalah kerana dia telah merosakkan rezeki lelaki tersebut pada waktu tengahari itu. Namun, perasaan itu dipendam sahaja.
            “Tak apa, saya boleh beli yang lain. Kesian cik. Tudung cik habis basah dan kotor. Nanti saya ganti ya,” ujar lelaki itu lagi. Kedengaran daripada bicaranya sahaja, Aneesa dapat mengesan tahap serba salahnya kepada Aneesa begitu tinggi tetapi dia menyembunyikannya dengan mengukir senyuman dan berlagak tenang.
            “Eh, jangan susah-susah, encik. Saya minta diri dulu untuk ke tandas,” balas Aneesa lantas segera beredar dari kafe tersebut. Lelaki itu hanya membalas dengan anggukan dan senyuman tenang sahaja. Itu yang telah berjaya menambat hati Aneesa sebentar tadi. Lamunan insiden tadi lenyap seketika tatkala kedengaran bunyi telefon bimbit milik Aneesa yang aktif mendendangkan rentak rancak. Matanya mula menatap nama yang tertera pada Samsung Galaxy  Mega rona merah miliknya.
            Intan S.A
            Satu terjahan impuls dari kotak memorinya segera aktif, lantas Aneesa mula teringat kembali sesuatu selepas melihat nama tersebut.
            ‘Ha, baru ingat. Intan!’ ucap Aneesa dalam hati lantas ikon hijau pada skrin disentuh lembut dan panggilan dijawab.

+ Assalamualaikum, Intan.
- Waalaikumsalam, Aneesa. Amboi, lambatnya jawab call. Sibuk benar cik bos kita ni. Hehehe.
+ Ya, memang sibuk. Maaf sebab lupa pasal nak jumpa awak hari ni. Awak masih kat sana ke?
- Ha’ah. Saya masih kat sini. Lagipun, saya baru sampailah. Awak tu yang datang awal. Dah lunch ke belum?
+ Belum lagi. Tak apa, kali ni saya belanja.
- Eh, minggu lepas awak dah belanja saya. Minggu ni giliran sayalah pula, okey.
+ Mana-mana sajalah. Hehehe.
- Okey, saya tunggu awak di sini, lepas tu kita pergi lunch sama-sama ya.
+ Okay, noted.

            Selepas salam disambut, talian diputuskan. Ya, hari ini Aneesa ada janji temu dengan Intan S.A. atau nama penuhnya Intan Syed Azhar. Janji temu untuk mencari hos bagi majlis makan malam syarikat Aneesa. Ketika mendapat tugasan tersebut, Aneesa buntu. Jadi, dia memaklumkan masalahnya itu kepada Intan lantas Intan bercadang untuk bertemu dengannya di IOI Mall, Puchong. Maklum Intan, dia sudah dapat beberapa nama hos untuk dicadangkan bagi majlis makan malam tersebut. Tanpa banyak berlengah, Aneesa segera ke bilik air berhampiran untuk menukar tudungnya yang kotor tadi. Sememangnya, tabiat Aneesa ini amat berguna kepadanya di saat ini. Dia suka bawa sehelai lagi tudung di dalam tas tangannya sejak dari zaman universiti lagi. Selepas memakai tudung baru, tudung kotor itu tadi dilipat kemas-kemas dan dimasukkan pula dalam satu beg plastik. Kadang-kala, apabila sepupu Aneesa mengusiknya dengan panggilan Doraemon ada benarnya juga. Tas tangannya seolah-olah memiliki apa saja yang Aneesa mahukan.
            Siap berdandan sedikit, Aneesa meneruskan langkahnya ke tempat letak kereta dan alat pengera kereta yang mengunci kereta dibuka. Aneesa masuk ke perut kereta dan Mini Cooper S rona Spice Orange milik Aneesa mula meluncur masuk ke jalan raya selepas tiket letak kereta dibayar. Ketika memandu, Aneesa sentiasa siap sedia memakai alat fon kepala telefon bimbit bagi menjawab sebarang panggilan yang masuk. Bimbang jika dia memegang telefon sambil memandu, akan membahayakan keselamatan dirinya malah risiko untuk disaman oleh polis trafik pula begitu tinggi. Jadi, Aneesa sudah membiasakan dirinya untuk memakai alat tersebut ketika masuk ke perut kereta comelnya itu.

*****

SELEPAS meredah jalan raya yang mulai sesak kerana sudah masuk ke waktu makan tengahari, Mini Cooper S milik Aneesa meluncur perlahan ke arah tempat letak kereta IOI Mall di aras bawah. Enjin dimatikan, alat pengera dihidupkan dan dia mula melangkah ke arah eskalator yang bergerak naik ke atas. Tiba di aras G, Aneesa meneruskan langkahnya ke arah restoran piza terkemuka iaitu Pizza Hut. Dia terus sahaja menuju ke sana kerana semasa dia mengunci kereta, Intan menghantar mesej di WhatsApp pada telefon pintarnya itu di mana lokasi dia menunggu Aneesa di situ.
            Ketika menghampiri restoran Pizza Hut, Aneesa sudah melihat kelibat Intan yang sedang berbual dengan seseorang di telefon bimbitnya. Idea nakal mula menghambat kotak fikirannya. Aneesa cuba berjalan dengan berhati-hati agar Intan tidak dapat melihat kehadirannya. Sememangnya Intan sedang khusyuk berbual di telefon bimbit ketika ini. Sedar tidak sedar, Aneesa sudah berdiri terpacak bak tiang bendera tepat di belakang Intan. Dia mahu ketawa tetapi cuba ditahan agar tawanya daripada berderai. Apabila Intan yang sedang khusyuk berbual itu menoleh sahaja ke belakangnya, terus dia diserang latah.
            “Kus semangat aku. Cik bos ni memang suka sangat muncul macam tu. Terperanjatlah saya. Nasib baik jantung saya ni kuat sangat-sangat. Kalau jatuh ke lantai ni, siapa pulak yang nak tolong kutipkan?” tegur Intan yang mula membebel. Aneesa sangat suka melihat sahabat karibnya itu membebel. Kelihatan begitu comel.
            “Tak apa, saya boleh kutipkan untuk awak. Lepas tu saya hantar awak ke hospital untuk minta tolong doktor masukkan balik jantung awak tu,” balas Aneesa yang melayan bebelan Intan.
            “Sabar ajelah. Eh, sekejap cik bos?” ucap Intan secara tiba-tiba. Aneesa mulai hairan.
            “Ada apa, Intan? Kenapa?” soal Aneesa ingin tahu.
            “Dengar tak bunyi tu, cik bos?”
            “Bunyi apa? Ha, bunyi itu ke?” Jari telunjuk Aneesa dihalakan ke satu arah. Mata kedua-dua wanita tersebut beralih fokus. Mereka melihat seorang ibu sedang membebel kepada dua orang anaknya yang dari tadi merungut mungkin tidak berpuas hati kerana barang yang dia mahu tidak dapat dibeli. Intan menggelengkan kepala.
            “Bukanlah, cik bos. Cuba dengar betul-betul,” balas Intan.
            Aneesa semakin hairan.
            “Bunyi apa, Intan? Tak dengar pun.”
            “Bunyi tu. Tengah hebat berdangdut dan keroncong. Jom kita lunch dulu, cik bos,” jawab Intan yang masih lagi sempat mengusik Aneesa. Jari telunjuknya dihalakan ke arah perut Aneesa. Aneesa pula segera mencapai lengan Intan untuk dicubit tetapi Intan segera menarik lengannya sambil mengukir senyuman nakal. Benar juga dengan usikan Intan, setuju Aneesa dalam hati. Perutnya memang sedang giat berkeroncong kerana sejak dari tadi lagi dia belum menjamah sebarang makanan atau minuman. Niatnya untuk membeli juadah penkek di The Curve pagi tadi sebagai kudapannya terbantut dek insiden kecil berlaku.
            “Saya belanja tau,” sambung Intan lagi dengan pantas. Jika tidak, pasti sahabat baiknya itu akan mula memasang niat untuk belanja dia makan tengahari di sini.
            “Yalah, Cik Intan S.A. Apa-apa ajelah,” balas Aneesa lantas mereka berdua ketawa.
            Setelah mendapat tempat duduk dan memesan makanan, Aneesa dan Intan menyambung semula perbualan mereka.
            “Siapa yang call awak tadi, Intan?” tanya Aneesa memulakan perbualan.
            “Oh, tadi. Papa saya yang call. Dia beritahu khabar mak cik saya,” jawab Intan yang meneruskan perbualan.
            “Mak cik awak yang mana satu ya? Sebelah papa atau sebelah mama awak?”
            “Mak cik sebelah papa. Mak Cik Mariah.”
            “Oh, Mak Cik Mariah. Apa khabar dia sekarang? Kali terakhir saya jumpa dia masa hari raya tahun lepas.”
            “Dia masuk ICU. Kena strok tiba-tiba. Nasib baik bibik di rumah dia perasan dengan keadaan dia. Cepat-cepat dia buat panggilan kecemasan.”
            “Saya harap Mak Cik Mariah cepat sembuh. Nanti kita lawat dia sama-sama ya. Dia masuk hospital mana?”
            “Columbia Asia kat Bandar Puteri. Dekat saja. Sebab Mak Cik Mariah tinggal di sekitar situ.”
            Aneesa mengangguk. Terdengar sahaja nama mak cik Intan itu, kotak fikiran Aneesa mula menghantar satu impuls memori. Nama Mak Cik Mariah heboh disebut di seluruh pelusuk negeri Selangor dan beberapa negeri di sekitarnya. Di mana dia pernah menukar agama demi rasa cintanya kepada kekasihnya yang dia kenal di kampus bernama Adam. Khabarnya lagi, ketika Mak Cik Mariah yang ketika itu sudah menukar namanya kepada Mary mahu ke sebuah gereja bersama-sama Adam untuk dibaptis dan berkahwin, tanpa diduga kenderaan yang mereka berdua naiki dihempap tanah runtuh di kilometer 17 Lebuhraya Ampang-Hulu Klang, Selangor. Menurut berita tersebut, pihak berkuasa menemukan tiga mangsa yang terbunuh, tetapi apabila pencarian diteruskan lagi, pihak berkuasa menemukan Adam yang sudah mati, manakala Mak Cik Mariah pula nyawa-nyawa ikan dalam timbunan tanah yang lebih dalam. Tragedi yang kini berusia 16 tahun itu masih diingati oleh Aneesa dan dia tahu perihal tragedi itu daripada Intan sendiri. Maklum Intan, selepas tragedi itu, Mak Cik Mariah kembali semula kepada Islam dan menerima trauma yang hebat sepanjang hayat bersama seribu kekesalan dalam jiwanya.
            “Eh, dah sampai pun makanan kita,” tegur Intan lantas menyedarkan Aneesa daripada lamunan memori pahit Mak Cik Mariah.
            “Tak sedar pulak makanan dah sampai,” balas Aneesa.
            “Macam mana nak sedar. Jauh betul cik bos termenung tadi.”
            “Sudahlah, jom kita makan.”
            Mereka menghentikan perbualan kerana mahu mula menikmati makan tengahari. Setelah doa dibaca, mereka berdua mula merarau dengan begitu berselera sekali. Harapan mereka berdua ialah jangan ada sebarang gangguan kerana khuatir suasana penuh menyelerakan itu sirna begitu sahaja. Jadi, untuk menghargai kenikmatan merarau pada waktu itu sekali gus mengelakkan sebarang kehadiran gangguan daripada telefon bimbit masing-masing ialah dengan satu cara biasa. Mematikan telefon bimbit.

*****

WAKTU sudah beranjak ke jam 11.00 malam. Mata Aneesa masih belum tewas oleh serangan kantuk yang tidak mahu mengalah untuk menidurkannya. Jari-jemari Aneesa giat menaip laporan kerja untuk esok dan beberapa lagi tugasan yang lain. Komputer riba Sony VAIO VPC-CA1S1E rona jingga masih setia menemani Aneesa di malam yang semakin larut. Sememangnya Aneesa adalah insan yang begitu menggemari rona jingga. Buktinya setakat ini barangan miliknya yang berona jingga ialah keretanya, komputer ribanya, selipar biliknya, berus giginya dan yang terbaru ialah seekor arnab angora satin berona jingga, hadiah sempena hari lahirnya minggu lepas. Aneesa selesa memanggilnya Cik Nab. Arnab pembiakbakaan kacuk itu pula begitu manja dengan Aneesa, seolah-olah ia amat menyukai Aneesa.
            Berbekalkan kelajuan taipan Aneesa yang begitu pantas, hanya setengah jam sahaja kerja tersebut akhirnya selesai. Dia mengurut-urut manja jari-jemarinya yang sudah lenguh dan bersandar seketika pada sebuah sofa di dalam biliknya. Seperti dikawal secara automatik, Aneesa menuju ke arah sangkar Cik Nab yang terletak di hujung sebuah sudut di dalam biliknya. Aneesa berani memelihara Cik Nab di dalam bilik kerana dia menggunakan pasir wangi bagi kemudahan Cik Nab untuk melepaskan hajatnya. Sedang dia asyik melayan kerenah Cik Nab sambil memberi sedikit pelet, kedengaran irama mesej daripada WhatsApp di telefon bimbitnya.
            ‘Siapa pula yang mesej aku malam-malam buta ni? Intan kut,’ omel Aneesa sendirian. Segera dia mencapai telefon bimbitnya lantas dibuka mesej yang baru sahaja masuk sebentar tadi. Tiada tertera nama Intan pada mesej tersebut, tetapi ia datang daripada nombor yang begitu asing. Dahi Aneesa berkerut seketika. Pelbagai persoalan mula bermain di kotak fikirannya.
            Nombor siapa pula ni? Lelaki ke perempuan? Macam mana boleh dapat nombor telefon?
            Matanya masih fokus pada mesej misteri tersebut.

            Selamat malam, cik. Maaf kerana mengganggu.

            Aneesa mula menaip untuk membalas mesej itu. Mungkin orang ini salah hantar, teka Aneesa.
           
            Selamat malam. Boleh saya tahu siapa anda?

            Tidak sampai satu minit, mesej baru masuk semula ke WhatsApp Aneesa sekali gus menjawab soalannya tadi. Aneesa lantas tergamam tatkala membaca jawapan tersebut kerana semua persoalannya tadi sudah selesai dengan satu jawapan ini sahaja.

            Sudah lupakan saya ya, cik penkek? 
Categories:

0 comments:

Post a Comment

SEMUA ISI KANDUNGAN DI DALAM BLOG INI DILINDUNGI OLEH:
DMCA.com DMCA.com